Real Madrid tidak akan ikut langkah Barcelona


Marcelo menyifatkan Real Madrid tidak akan sesekali mengikut langkah Barcelona selepas juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah itu menewaskan Juventus dalam aksi dramatik di Santiago Bernabeu.

Madrid tewas di tempat sendiri 3-1, namun jaringan yang dihasilkan menerusi sepakan penalti saat akhir oleh Cristiano Ronaldo itu sudah cukup untuk membawa Los Blancos ke separuh akhir.

Walaupun dua gol Mario Mandzukic dan satu jaringan Blaise Matuidi membolehkan Juve mengikat kedudukan agregat kepada 3-3, skuad kendalian Zinedine Zidane tidak berputus asa sehingga Lucas Vazquez dijatuhkan Medhi Benatia sehingga menghadiahkan sepakan penalti.

Marcelo yang menggantikan Sergio Ramos selaku ketua pasukan tidak dapat mengelakkan diri daripada menyindir Barca yang merupakan seteru utama, selepas pasukan bimbingan Ernesto Valverde itu tewas 3-0 di tangan AS Roma dalam suku akhir kedua walaupun menang 4-1 dalam aksi sebelum itu, sekaligus terpaksa melupakan saingan.

"Kami menghadapi segalanya dan melakukan segala usaha untuk melayakkan diri.

"Apa yang berlaku kepada Barcelona tidak akan terjadi kepada kami kerana kami adalah Real Madrid," katanya.

Pengadil perlawanan, Michael Oliver, mengundang rasa kurang senang dalam kem Juve terutamanya ketua pasukan, Gianluigi Buffon, selepas keputusannya memberikan sepakan penalti pada saat akhir.

Tindakan Buffon yang membantah keputusan itu juga menyebabkannya dilayangkan kad merah buat pertama kali dalam sejarah kejohanan dan bagi Marcelo, pengadil dari England itu melakukan tindakan tepat.

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==